Jumaat, 23 Ogos 2019

Waktu-waktu Mustajab Untuk Berdoa


Doa adalah senjata umat mukmin. Nabi SAW bersabda: "Doa adalah senjata bagi orang-orang mukmin, tiang bagi agama, dan nur bagi langit dan bumi." - HR Hakim

Terdapat beberapa situasi/masa dan keadaan yang mustajab untuk berdoa:

Waktu-waktu Mustajab


1.      Sepertiga Akhir Malam

Dari Abu Hurairah (r.a) bahawasanya Rasulullah S.A.W bersabda:

Ertinya : "Sesungguhnya Rabb kami yang Maha Berkat lagi Maha Tinggi turun setiap malam ke langit dunia hingga berbaki sepertiga akhir malam, lalu berfirman ; barangsiapa yang berdoa, maka Aku akan kabulkan, barangsiapa yang memohon, pasti Aku akan perkenankan dan barangsiapa yang meminta ampun, pasti Aku akan mengampuninya" (Sahih Al-Bukhari)

2.      Tatkala Berbuka Puasa Bagi Orang Yang Berpuasa

Dari Abdullah bin 'Amr bin 'Ash (r.a) bahawa dia mendengar Rasulullah S.A.W bersabda:

Ertinya : "Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa ketika saat berbuka ada doa yang tidak ditolak". (Sunan Ibnu Majah)

3.      Setiap Selepas Solat Fardhu

Dari Abu Umamah, sesungguhnya Rasulullah S.A.W ditanya tentang doa yang paling didengari oleh Allah S.W.T, baginda menjawab:

Maksudnya: "Di pertengahan malam yang akhir dan setiap selesai solat fardhu.” (Sunan At-Tirmidzi)

4.      Ketika Saat Perang Berkecamuk

Dari Sahl bin Sa'ad (r.a) bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

Ertinya : "Ada dua doa yang tidak tertolak atau jarang tertolak ; doa ketika saat azan dan doa ketika perang berkecamuk". (Sunan Abu Daud)

5.      Sesaat ketika Hari Jumaat

Dari Abu Hurairah (r.a) bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

Maksudnya : "Sesungguhnya pada hari Jumaat ada satu saat yang tidaklah bertepatan seorang hamba muslim solat dan memohon sesuatu kebaikan kepada Allah melainkan akan diberikan padanya, beliau berisyarat dengan tangannya akan sedikitnya waktu tersebut". (Shahih Al-Bukhari)

Waktu yang sesaat itu tidak boleh diketahui secara tepat dan masing-masing riwayat menyebutkan waktu tersebut secara berbeza-beza, sebagaimana yang telah disebutkan oleh Ibnu Hajar di dalam Fathul Bari.

Dan kemungkinan besar waktu tersebut berada ketika saat imam atau khatib naik ke mimbar sehingga selesai solat Jumaat atau sehingga selesai waktu solat asar bagi orang yang menunggu solat maghrib.

6.    Ketika Waktu Bangun Tidur Pada Malam Hari (bagi Orang Yang Sebelum Tidurnya Dalam Keadaan Suci dan Berzikir Kepada Allah)

Dari 'Amr bin 'Anbasah (r.a) bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

Ertinya :"Tidaklah seorang hamba tidur dalam keadaan suci lalu terbangun pada malam hari kemudian memohon sesuatu tentang urusan dunia atau akhirat melainkan Allah akan mengabulkannya" . (Sunan Ibnu Majah)

7.    Doa Di antara Azan dan Iqamah

Dari Anas bin Malik (r.a) bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

Ertinya : "Doa tidak akan ditolak di antara adzan dan iqamah". (Sunan Abu Daud)

8.    Doa Ketika Waktu Sujud di Dalam Solat

Dari Ibnu Abbas (r.a) bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

Ertinya : "Adapun pada waktu sujud, maka bersungguh-sungguhl ah berdoa keraan saat itu sangat tepat untuk dikabulkan". (Sahih Muslim)

Yang dimaksudkan adalah sangat tepat dan layak untuk dikabulkan doa kamu.

9.    Ketika Saat Sedang Hujan

Dari Sahl bin A'ad (r.a) bahawasanya Rasulullah S.A.W bersabda:

Ertinya : "Dua doa yang tidak pernah ditolak ; doa ketika waktu azan dan doa ketika waktu hujan". (Mustadrak Hakim dan dishahihkan oleh Adz-Dzahabi)

Imam An-Nawawi berkata bahawa penyebab doa pada waktu hujan tidak ditolak atau jarang ditolak ialah kerana pada saat itu sedang turun rahmat khususnya curahan hujan pertama di awal musim.

10. Ketika Saat Ajal Tiba

Dari Ummu Salamah bahawa Rasulullah S.A.W mendatangi rumah Abu Salamah (pada hari wafatnya), dan beliau mendapati kedua mata Abu Salamah terbuka lalu Baginda memejamkannya kemudian bersabda:

Ertinya : "Sesungguhnya tatkala roh dicabut, maka pandangan mata akan mengikutinya' . Semua keluarga histeria. Baginda S.A.W bersabda: 'Janganlah kalian berdoa untuk diri kalian kecuali kebaikan, kerana para malaikat mengamini apa yang kamu ucapkan". (Sahih Muslim)

11. Ketika Lailatul Qadar

Allah S.W.T berfirman:

Maksudnya : "Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu penuh kesejahteraan sehingga terbit fajar". (Surah Al-Qadr : 3-5)

Imam As-Syaukani berkata bahawa kemuliaan Lailatul Qadar mengharuskan doa setiap orang pasti dikabulkan.

12.     Doa Ketika Hari Arafah

Dari 'Amr bin Syu'aib (r.a) dari bapaknya dari datuknya bahawasanya Nabi Muhammad S.A.W bersabda:

Ertinya : "Sebaik-baik doa adalah pada hari Arafah". (Sunan At-Tirmidzi) 

 Rujukan fakta berkenaan doa : jakimsabah.islam.gov.my